Monday, December 12, 2011

Hentian Sirah : Mangkuk cantik, madu & sehelai rambut

Assalamualaikum. Alhamdulillah, syukur padaNya kerana memberi nafas dalam kehidupan ini ;). Pernah suatu hari, saya terbaca suatu kisah yang amat bermanfaat buat sesiapa sahaja yang membacanya. Ilmu itu, harus disebar bukan disimpan. Oleh itu, saya ingin kongsikan kisah tersebut dalam post saya pada kali ini.

Ayuh tambah ilmu!


Mangkuk cantik, madu & sehelai rambut


Pada suatu hari Rasulullah SAW. bersama-sama Saidina Abu Bakar r.a., Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthman r.a. pergi menziarahi Saidina Ali r.a. di rumahnya. Kedatangan mereka bertiga disambut dengan senang hati oleh Saidina Ali r.a. dan isterinya Saidatina Fatimah r.a.

Bagi memuliakan tetamu, Saidatina Fatimah r.a. menghidangkan madu kepada ayahandanya serta kawan-kawan karibnya. Madu itu diletakkan dalam sebuah mangkuk yang amat cantik. Semasa membawa mangkuk berisi madu itu kepada mereka, tiba-tiba sehelai rambut jatuh ke dalam mangkuk tersebut. Semua yang ada hanya memerhatikan keadaan tersebut.

Tiba-tiba Rasulullah SAW meminta semua sahabat yang hadir untuk membuat perbandingan terhadap tiga benda tersebut iaitu mangkuk cantik, madu dan sehelai rambut. Maka para sahabat yang ada memberikan pandangan masing-masing.



Saidina Abu Bakar r.a. berkata : "Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut."


Saidina Umar r.a. berkata : "Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis daripada madu dan memerintah dengan adil itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut."


Saidina Uthman r.a. pula berkata : "Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis daripada madu dan orang yang beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."


Saidina Ali r.a. pula berkata : "Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan membuat tetamu rasa gembira sehingga pulang ke rumahnya lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."


Saidatina Fatimah r.a. pula mengatakan : "Seorang wanita itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang menutup auratnya itu lebih manis daripada madu dan mendapatkan seorang wanita yang tidak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih susah daripada meniti sehelai rambut."


Rasulullah s.a.w. pula mengatakan : "Seorang yang mendapat taufik untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, beramal dengan amalan yang baik itu lebih manis daripada madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."



Malaikat Jibrail a.s. pula berkata : "Menegakkan panji-panji agama itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha-usaha agama lebih manis daripada madu dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."


Allah SWT kemudian berfirman : "Syurga-Ku lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis daripada madu dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."


Hakikatnya, jiwa dan pemikiran sahabat-sahabat Rasulullah SANGAT sejajar dengan apa yang islam mahukan. YA, Islam memerlukan ummat yang cergas akalnya supaya ISLAM berkembang dengan jayanya.

Wallahu'alam

p/s : Quote yang biasa saya dengar- Dakwah itu tidak dibentangkan dengan permaidani indah, namun, ia ditaburi dengan duri-duri yang tajam. Mampukah saya? ALLAH tahu, saya mampu! =)

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes