Monday, December 12, 2011

Hentian Sirah : Mangkuk cantik, madu & sehelai rambut

Assalamualaikum. Alhamdulillah, syukur padaNya kerana memberi nafas dalam kehidupan ini ;). Pernah suatu hari, saya terbaca suatu kisah yang amat bermanfaat buat sesiapa sahaja yang membacanya. Ilmu itu, harus disebar bukan disimpan. Oleh itu, saya ingin kongsikan kisah tersebut dalam post saya pada kali ini.

Ayuh tambah ilmu!


Mangkuk cantik, madu & sehelai rambut


Pada suatu hari Rasulullah SAW. bersama-sama Saidina Abu Bakar r.a., Saidina Umar r.a. dan Saidina Uthman r.a. pergi menziarahi Saidina Ali r.a. di rumahnya. Kedatangan mereka bertiga disambut dengan senang hati oleh Saidina Ali r.a. dan isterinya Saidatina Fatimah r.a.

Bagi memuliakan tetamu, Saidatina Fatimah r.a. menghidangkan madu kepada ayahandanya serta kawan-kawan karibnya. Madu itu diletakkan dalam sebuah mangkuk yang amat cantik. Semasa membawa mangkuk berisi madu itu kepada mereka, tiba-tiba sehelai rambut jatuh ke dalam mangkuk tersebut. Semua yang ada hanya memerhatikan keadaan tersebut.

Tiba-tiba Rasulullah SAW meminta semua sahabat yang hadir untuk membuat perbandingan terhadap tiga benda tersebut iaitu mangkuk cantik, madu dan sehelai rambut. Maka para sahabat yang ada memberikan pandangan masing-masing.



Saidina Abu Bakar r.a. berkata : "Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut."


Saidina Umar r.a. berkata : "Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis daripada madu dan memerintah dengan adil itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut."


Saidina Uthman r.a. pula berkata : "Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis daripada madu dan orang yang beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."


Saidina Ali r.a. pula berkata : "Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan membuat tetamu rasa gembira sehingga pulang ke rumahnya lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."


Saidatina Fatimah r.a. pula mengatakan : "Seorang wanita itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang menutup auratnya itu lebih manis daripada madu dan mendapatkan seorang wanita yang tidak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih susah daripada meniti sehelai rambut."


Rasulullah s.a.w. pula mengatakan : "Seorang yang mendapat taufik untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, beramal dengan amalan yang baik itu lebih manis daripada madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."



Malaikat Jibrail a.s. pula berkata : "Menegakkan panji-panji agama itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri, harta dan waktu untuk usaha-usaha agama lebih manis daripada madu dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."


Allah SWT kemudian berfirman : "Syurga-Ku lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu, nikmat syurga-Ku itu lebih manis daripada madu dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."


Hakikatnya, jiwa dan pemikiran sahabat-sahabat Rasulullah SANGAT sejajar dengan apa yang islam mahukan. YA, Islam memerlukan ummat yang cergas akalnya supaya ISLAM berkembang dengan jayanya.

Wallahu'alam

p/s : Quote yang biasa saya dengar- Dakwah itu tidak dibentangkan dengan permaidani indah, namun, ia ditaburi dengan duri-duri yang tajam. Mampukah saya? ALLAH tahu, saya mampu! =)

Sunday, December 11, 2011

PROCAST II : Dedikasi buat MEREKA

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah. Alhamdulilah. Alhamdulillah. Panjatkanlah rasa syukur kita kepadaNya kerana saya- berkesempatan mengemas kini blog ini dan anda- masih berkesempatan untuk membacanya. Tanpa segala nikmat pancaindera yang diberikanNya pasti saya tidak mampu menulis keranaNya. Alhamdulillah!. Pada post kali ini, ingin sekali saya dedikasikan buat MEREKA yang telah mewarnai kehidupan saya walaupun cuma sebentar. Hayatilah!

PROCAST II : Dedikasi buat MEREKA




YA! Merekalah yang saya maksudkan~

Alhamdulillah, pada kali ini, saya diberi kesempatan oleh Allah untuk berkhidmat di Program Cemerlang Akademik dan Sakhsiah Terpuji siri ke 2 Zon Selatan. Walaupun, saya tidak dapat mengikutinya 100%, tetapi Alhamdulillah! MEREKA iaitu peserta procast sendiri benar-benar mewarnai kehidupan saya kala itu. Mengapa? Biarlah saya menjawabnya.

Pertama - Saya melihat keyakinan sebagai seorang muslim yang ingin merubah di raut wajah MEREKA. Dan saya yakin, jika MEREKA bersungguh dalam kehidupan MEREKA sebagai khalifah di muka bumi ALLAH, pasti ISLAM akan kembali memayungi dunia.

Harapan Ummah!

Kedua - MEREKA punya semangat yang tinggi sebagai seorang pemuda dan pemudi. Walaupun program berlangsung selama 5 hari, saya dapati, semangat MEREKA tidak pernah padam. Ya, bangun awal memang menyeksakan jika tidak biasa. Namun, MEREKA sentiasa bersedia mematuhi arahan yang diberikan. Bangun awal kala itu seakan bukanlah masalah buat MEREKA. Saya kagum dengan semangat mereka dan keyakinan saya berganda untuk melihat MEREKA memimpin dunia dengan islam yang mereka ada!

Saya kagum dengan MEREKA


Ketiga - CINTA MEREKA terhadap ilmu. Sentiasa mendengar dengan teliti walaupun kadang kala, ada juga yang tersengguk, bagi saya, itu bukanlah tanda MEREKA malas, mungkin keletihan dengan jadual program yang memenatkan. Inilah generasi yang ISLAM harapkan. Tatkala sebahagian besar generasi muda hanyut dalam kegelapan, namun, masih ada cahaya dari generasi yang cintakan ilmu yang bakal menggegarkan dunia dengan syakhsiah MEREKA yang mengagumkan!

Tingkatkan usahamu adik-adikku!


Saat MEREKA dengan saya bertambah manis apabila saya lebih mendekati MEREKA kala taklimat perbahasan@debat. Saya banyak belajar dari MEREKA. Terasa kekerdilan diri saat berkomunikasi bersama MEREKA. Ya, MEREKA punya banyak kelebihan yang mungkin mereka tidak sedar. Sejujurnya, tangan saya sejuk dari awal hingga akhir tika sesi taklimat itu. Entah mengapa. Jarang saya begitu. Mungkin saja kerana hakikatnya, MEREKA lebih hebat dari saya.

Sesi perbahasan

Pilu sungguh apabila saya tidak berkesempatan untuk bersama MEREKA hingga hujung program. ALLAH tahu yang terbaik buat saya. Namun, sebelum pulang, saya sempat mendengar ceramah dari seorang penceramah. Dr Johari Surif namanya. Saya ingin menjadi seperti beliau. Sentiasa bersemangat dan idea dan isi yang dilontarkan dalam penyampaiannya amat mudah untuk difahami. Kagum saya dibuatnya. Dan apa yang lebih pasti, MEREKA yang mendengar penyampaian penceramah tersebut pasti lebih bersemangat untuk praktik apa yang telah beliau sampaikan. Ya, SAYA PASTI! Insya-Allah!


Saat ini, saya rindu mereka.
MEREKA yang baik.
MEREKA yang bersemangat
MEREKA yang peramah
MEREKA yang soleh dan solehah
dan pastinya MEREKA yang bakal memimpin masa hadapan
dengan syakhsiah MUSLIM MEREKA kelak.

Kini, PROCAST II telah berakhir. Namun ia tidak bermakna perjuangan MEREKA berakhir. Ada yang lebih besar menanti MEREKA. Ayuh adik-adik muslimku! Bangkitlah kalian menegakkan kalimah yang satu! Ingatlah, ALLAH sentiasa bersamamu!

"Andai Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir rebah, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa2 muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan bersama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan tersergam indah.."
-Imam Hassan Al-Banna-

Wallahu'alam



Monday, November 14, 2011

SPM dan MEREKA

Alhamdulillah, singgah sebentar ke notahamba, bagi menambah lagi nota saya buat tatapan anda semua. Terimalah.

SPM dan MEREKA


14 NOVEMBER, hari ini, SPM 2011 membuka tirainya. Pastinya, debaran melanda buat calon-calon SPM tahun ini. Buat anda yang mengambil SPM tahun ini, saya doakan moga anda dapat melakukan yang terbaik dan semoga Allah redha dengan anda. Sebelum-sebelum ini, pelbagai ta'rif saya dengar untuk 'SPM'. Antaranya

Sijil Pelajaran Malaysia

Sijil Padang Mahsyar

Sijil Papa Mama

Tidak kiralah apapun ia, buatlah kerana ALLAH! Nescaya kejayaan menantimu..insyaALLAH!

Hakikatnya, saya menulis kali ini kerana SPM begitu mengingatkan saya pada sesuatu. Pada sesuatu yang begitu membuatkan saya menyelak halaman memori saya pada kenangan dahulu. Ya, kenangan ketika saya dan teman-teman ketika kami melalui SPM dahulu. Melihat adik-adik yang pelbagai ragam sebelum melangkahkan kaki ke dewan SPM begitu mengingatkan saya pada ragam saya dan teman-teman ketika hari pertama SPM tahun lalu. Ia sungguh menyeksa jiwa saya dek teringatkan MEREKA. Siapakah mereka? Inilah MEREKA yang saya maksudkan.


Seusai malam kemuncak program Graduasi

Apa tidaknya, ketika SPM, hanya f5 sahaja yang berada di sekolah dan asrama, sehingga terdengar juga di telinga saya, gelaran sekolah f5. Ketika inilah, puncak kemesraan ukhuwah terbentuk. Tambahan pula, ini adalah saat genting sebelum perpisahan.


Tidak beriman seseorang diantara kamu, sehingga dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri''

-alhadith-

Rindu saya pada mereka begitu menggunung kala ini. Namun, untuk berkumpul seperti dahulu, mungkin tidak mustahil, tetapi amat-amat sukar. 3 orang sudah berada di timur tengah, seorang di kepulauan Borneo, 20+ di Kelantan, 6 orang, masih di Perlis..dan pelbagai tempat lagi..Hanya gambar sahaja yang mampu mengubat rindu saya kala ini kerana masing-masing punya urusan yang tersendiri..oh! rindunya saya pada MEREKA!


Persiapan malam kemuncak Graduasi


Baba~dik Man


Rindu~~


Mesyuarat sebentar

Ya, MEREKA adalah permata16, yang saya tak pernah lupa... Rindu saya pada mereka, hanya Tuhan yang tahu! Moga Dia dapat membalas kerinduan ini dengan pertemuan kami di syurgaNya!

Sekian
Teratak ayahbonda,
Isnin, 14 November 2011
11:35 p.m

p/s: Permata16 sekalian, adakah kalian juga rindu pada saya?..^_^

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes